Monday, October 19, 2009

Klasik Nasional: berita pertama pengabungan Klasik Fm dan Nasional FM

Bagi peminat siaran Klasik FM (93.9 MHz), berikut ada pengumuman oleh Menteri Penerangan Malaysia dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini (24 Julai 2006). Sila baca dengan teliti.

KLASIK FM DAN NASIONAL FM BERGABUNG CETUSKAN SENSASI BARU

Oleh: ABD. AZIZ ITAR

BAGI memantapkan lagi pengisian program-program di saluran radio Nasional fm, Kementerian Penerangan telah mengambil keputusan menggabungkan saluran itu dengan saluran Klasik fm mulai 12 Ogos ini.

Dengan penggabungan tersebut, para peminat lagu-lagu lama di Klasik fm yang sebelum ini hanya disiarkan di Lembah Klang akan dapat mengikutinya di seluruh negara. Pada masa ini setiap hari seramai 270,000 pendengar radio memilih Klasik fm.

Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin berkata, penggabungan dua saluran radio itu dilakukan ekoran sambutan para pendengar lagu-lagu lama yang tidak pernah luput ditelan zaman.

“Langkah itu juga membolehkan RTM berjimat sebanyak RM4 juta jika kami mendirikan sebuah pemancar Klasik fm untuk memancarkannya ke seluruh negara.

“Malah selama ini Klasik fm hanya disiarkan selama 16 jam sehari dan jumlah pendengarnya juga tidak menyeluruh,” katanya pada sidang akhbar pengumuman penggabungan saluran radio itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selepas penggabungan tersebut, kedua-dua stesen tersebut akan dikenali sebagai Klasik Nasional dan bersiaran selama 24 jam setiap hari.

Menurut Zainuddin, Klasik Nasional akan menjadikan unsur klasik dalam lagu-lagu siarannya sebagai elemen utama saluran radio tersebut.

“Selepas ini tidak akan ada lagi lagu-lagu bahasa asing disiarkan dalam Klasik Nasional. Tetapi saluran itu tetap akan menyiarkan pelbagai jenis lagu Melayu yang popular sejak dulu hinggalah sekarang.

“Antaranya, lagu-lagu evergreen (malar hijau) irama Melayu, kontemporari, lagu-lagu rakyat serta tradisional seperti inang, zapin dan sebagainya,” jelasnya.

Sempena penggabungan itu, kata Zainuddin, Klasik Nasional juga akan menggunakan cogan kata ‘Segalanya Di Sini, Menggamit Memori’ dan ia boleh diikuti menerusi frekuensi siaran Nasional fm sekarang iaitu 93.0 Mhz.

Jelasnya lagi, penggabungan itu sudah sampai masanya kerana langkah tersebut akan mengembalikan identiti saluran Nasional fm yang sebelum ini dikatakan ‘terkeluar’ daripada konsep nasional yang sebenar kerana ia turut menyiarkan lagu-lagu bahasa asing.

“Antara lain matlamat penggabungan ini adalah untuk menerapkan nilai-nilai cintakan irama Melayu di kalangan para pendengar selain mengekalkan keunggulan irama itu,” ujarnya.

Sementara itu, Pengawal Klasik fm, Chuari Selamat akan bertanggungjawab mengawal Klasik Nasional. Pilihan lagu-lagu akan dilakukan oleh para petugas yang berpengalaman luas dalam dunia penyiaran radio seperti Akbar Nawab, Shahizan Jelas dan Rosli Derani.

Chuari begitu mementingkan cita rasa dan keperluan semasa para penonton yang masih kuat memberi sokongan terhadap lagu-lagu lama.

“Kalau lagu-lagu yang disiarkan menerusi Klasik Nasional nanti tidak sedap, telefon dan beritahulah saya,” katanya ringkas pada majlis itu.

Sebagai pengawal Klasik Nasional, Chuari yang sudah lebih 30 tahun mencurahkan bakti di RTM akan melakukan pelbagai cara untuk memantapkan lagi saluran radio kendaliannya itu.

Beliau sedang berusaha untuk mengumpul serta menambahkan lagi koleksi lagu-lagu lama sama ada daripada format piring hitam (LP), kaset ataupun cakera padat (CD).

“Sesiapa yang mahu menyumbangkan LP lagu-lagu lama yang masih elok dalam koleksi simpanan mereka bolehlah menghubungi kami di talian 03-2288 7874.

“Kami akan siarkan lagu-lagu daripada LP-LP yang disumbangkan itu. Selama ini pun banyak antara lagu-lagu yang kami siarkan adalah hasil sumbangan para pendengar,” katanya.

Tambah Chuari, Klasik Nasional juga akan menjemput tokoh-tokoh daripada pelbagai bidang sebagai tetamu undangan dalam program-program terbitannya kelak.

Antaranya, dengan memaparkan perkembangan terbaru insan-insan seni veteran yang kini seakan-akan dilupakan oleh masyarakat.

“Contohnya, kami pernah bertemu dengan pemuzik veteran Ahmad C yang pernah bergiat dalam dunia hiburan sezaman dengan Allahyarham P. Ramlee.

“Kami difahamkan beliau kini masih sihat dan tinggal di Kota Tinggi, Johor dengan menjalani kehidupan seharian sebagai nelayan,” ujarnya.

Bagi memantapkan lagi Klasik Nasional, program-program sedia ada dalam Nasional fm seperti siaran berita akan diperkukuhkan di samping mengekalkan program utama seperti sukan, drama, soal pembangunan, pertanian, agama dan juga berkaitan isu-isu semasa.

Saluran Klasik Nasional dijangka mampu memberi kepuasan maksimum kepada para pendengar terutamanya peminat lagu-lagu lama atau klasik.

Ini kerana stesen penyiaran milik kerajaan itu akan menyiarkan lagu-lagu popular malar hijau dan irama Melayu kontemporari pada setiap hari.

Malah, lagu-lagu nostalgia yang dipetik daripada filem-filem klasik dari era tahun 1950-an hingga kini juga akan disiarkan menerusi Klasik Nasional.

Selain lagu-lagu pilihan petugas di Klasik Nasional, para pendengar juga boleh membuat permintaan lagu-lagu pelbagai rentak pada setiap hari.

Rancangan permintaan lagu berjudul Nostalgia disiarkan setiap hari dari pukul 11 pagi hingga 12 tengah hari, Masihkah Kau Ingat (3 petang hingga 4 petang), Hati Ke Hati (5.15 petang hingga 6.30 petang) dan Malar Segar (10.15 malam hingga 11.30 malam).

Lagu-lagu lama yang akan disiarkan pula kebanyakannya diambil daripada rakaman LP atau CD yang pernah popular pada tahun-tahun 1950-an sehinggalah ke hari ini.

Klasik Nasional akan terus menggunakan frekuensi yang digunakan oleh Nasional fm sebelum ini iaitu 93.9 Mhz, manakala untuk siaran luar Lembah Klang pula ia mengikut frekuensi masing-masing yang telah disediakan.

Klasik Nasional akan dipancarkan di seluruh negara melalui 49 pemancar sama yang digunakan oleh Nasional fm sebelum ini.

Stesen radio itu akan menampilkan 19 juruhebah antaranya Adibah Affandi, Nora Mohamad, Norliza Yeo Abdullah, Hazliza Ibrahim, Khairul Munirah Abd. Razak, Norzaiti Ahmad, Mohamad Haji Hanafi, Yusmawati Yunos dan Rohani Zahid.

Pelancaran Klasik Nasional akan diadakan pada pukul 8.45 malam 12 Ogos ini di Angkasapuri, Kuala Lumpur. Ia akan disiarkan secara langsung menerusi RTM1.

1 comment:

Abdul Rahim said...

Salam Pn Norliza Yeo,
Saya seorang peminat Classic International,selalunya tidak 'miss' tiap programme yg keudara pada hari Sabtu dan Ahad dari 2115-2200 hrs.
Perhatian saya terhadap DJ2 yg bertugas adalah:
-terlalu bnyk berceloteh sehinggakan mual saya mendengarnya.Masa berceloteh itu elok dimuatkan dengan lagu lagu.
-sebutan didalam Bahasa Inggeris...saperti nama nama penyanyi,tajuk lagu lagu serta nama nama tempat diBarat amatlah menyedihkan.Umpamanya lagu THERE'S A KIND OF HUSH di sebut THERE'S A KIND OF HOOOSH.
-semoga dapat diperbaiki mutu nya.
Terima Kasih.
Rahim Aziz

Post a Comment